Islam Membenci Kezaliman

Umar Mukhtar5a.jpgIslam sangat membenci kezaliman dan kekuasaan yang dilaksanakan dengan cara diktator dan ‘kuku besi’. Oleh itu, kita disarankan agar tidak memilih pemimpin yang berpotensi untuk melakukan kezaliman dan bersikap ‘kuku besi’.

Dakwah Rasulullah saw sentiasa menentang setiap bentuk kezaliman kerana risalah keadilan yang dibawa baginda adalah musuh bagi semua bentuk kezaliman. Oleh kerana intipati syari’at Islam adalah keadilan maka semua penguasa yang zalim pasti akan membenci tertegaknya ajaran ini di muka bumi yang dikuasainya.

Mari kita dengar antara ucapan Utbah bin Rabi’ah, seorang utusan kafir Quraisy kepada Rasulullah saw :

“…Kalau dengan dakwah yang kamu lakukan itu kamu menginginkan kedudukan sebagai raja, kami bersedia menobatkan kamu menjadi raja kami ..” (HR Ibnu Ishaq)

Ini adalah tawaran yang sangat bijak kerana jika Rasulullah saw mahu mengambil kekuasaan dengan meninggalkan dakwah, maka berkemungkinan pemerintahan yang akan ditegakkan itu akan terpalit dengan unsur-unsur kezaliman. Namun, pada kenyataannya, Rasulullah saw tidak mengambil kedudukan itu.

Orang-orang kafir Quraisy Makkah sangat memahami bahwa jika iklim kebebasan mereka buka selebar-lebarnya maka dakwah Islam akan mengancam kepentingan dan kedudukan mereka. Oleh kerana itu, mereka pun melakukan tindakan-tindakan kezaliman terhadap kaum muslimin dengan alasan yang dicari-cari untuk menutup ruang interaksi dan simpati manusia dengan kaum muslimin.

Maka konflik dalaman berlaku di antara tokoh-tokoh jahiliyah yang “radikal” seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Utbah bin Rabi’ah dan lain-lain dengan tokoh-tokoh jahiliyah yang lebih “moderat” dan bersikap “demokratik” seumpama Abu Talib, Muth’am bin Adi, Hisyam bin Amir dan lain-lain.

Muth’am bin Adi umpamanya memberikan perlindungan kepada Rasulullah saw tatkala baginda pulang dari berdakwah ke Thaif manakala orang-orang kafir Quraisy tidak membenarkan baginda untuk dapat masuk semula ke kota Makkah.

Hisyam bin Amir adalah orang pertama yang merasa prihatin dengan tiga tahun pemboikotan kepada kaum Muslimin dan Bani Muthalib. Ketika Rasulullah saw merasa perlu mencarikan tempat perlindungan bagi kaum muslimin dari tindakan kezaliman orang-orang kafir Makkah, baginda terfikir tentang wilayah Habsyah, bukannya Romawi atau negeri lainnya. Bukan sekadar wilayah ini lebih dekat dengan Makkah tetapi juga iklim politik negeri itu yang lebih kondusif bagi dakwah Islam.

Berkait dengan Habsyah, Rasulullah saw berkata :

“Alangkah baiknya jika kamu dapat berhijrah ke negeri Habsyah, kerana di sana terdapat seorang raja yang adil sekali. Di bawah kekuasaannya tidak seorang pun boleh dianiaya ..”

Continue reading