Yang ada ini, sudah harapan kita.

“Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Kata-kata di atas merupakan petikan daripada khutbah terakhir Rasulullah S.A.W. Baginda tinggalkan sumber bekalan sepanjang zaman-Al-Quran dan As-Sunnah-sebagai panduan dan pedoman hidup kepada umatnya yang sangat Baginda cintai. Ingatan dan kasih baginda pada umat-umatnya tidak pernah luntur padam. Hatta sampai akhir nafas baginda sekalipun baginda masih mengenangkan umatnya.
 harapan
تَرَكْتُ فِيْكُمْ  اَمْرَيْنِ مَا لَنْ تَضِلُّ بَعْدَهُ اِنْ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كَتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِهِ     
“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya”
(Hadis Riwayat Muslim)
Ibrah daripada Sirah
Umat Islam punya sejarah yang gemilang dalam sejarah ketamadunan manusia. Cara fikir ilmuan Islam yang berbeza dengan orang Barat pada ketika itu menyebabkan mereka berusaha keluar mencari ilmu dengan nama Tuhan-Allah yang Maha Agung- ketikamana golongan Kristian menghancurkan khazanah ilmu yang ada dengan nama Nabi Isa A.S. Kerana itu, Carleton S. (Carly) Fiorina, bekas penasihat John McCain pada tahun 2008 berkata dalam ucapannya ketika menjadi pengerusi Hewlett-Packard Company:
“Pada suatu masa dahulu wujud satu tamadun yang terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Dibawah kekuasaaanya terdapat ratusan juta manusia dari perlbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia pada ahri ini. Tentera-tenteranya dianggotai oleh manusia dari pelbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak tolok bandingnya. Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin kenegara China serta antara kedua-dua tamadun. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkiteknya mampu membina bangunan tinggi yang melawan gravity. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep algebra dan algoritma. Konsep-konsep ini membantu penciptaan computer dan encryption pada hari ini. Tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan bagi merawat pelbagai penyakit. Tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekali gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa raya. Penulisnya menulis ribuan cerita…Tamadun yang saya maksudkan adalah tamadun islam, yang berkembang dari 800-1600 Masehi.”
Namun hari ini, keadaannya sudah jauh berbeza. Apabila kepimpinan diterajui mereka yang tidak berhak, sekularisme dalam politik serta timbulnya pelbagai bidaah dan kesesatan dalam dunia Islam, kegemilangan itu sedikit demi sedikit memudar.
Ibrah daripada kisah
Tidak berapa jauh dari Sungai Indus, suatu masa dahulu, hidup seorang lelaki yang bernama Ali Hafiz bersama bersama keluarganya. Beliau memiliki ladang dan dusun yang luas dan beliau boleh dianggap sebagai orang yang kaya raya. Setiap malam beliau bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang dikurniakan dan setiap malam beliau dapat tidur dengan nyenyak. Pada suatu hari, seorang lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam datang menziarahi Ali Hafiz. Beliau menceritakan bagaimana berlian terjadi dan berkata, “Apabila kamu berjaya memiliki berlian walaupun sebesar ibu jari, kamu mampu membeli sebuah negara, dan apabila kamu dapat memiliki sebuah lombong berlian kamu dapat menguasai dunia.”
Sejak hari itu, Ali Hafiz tidak dapat tidur dengan nyenyak lagi dan sejak hari itu beliau lupa bersyukur kepada Allah. Siang dan malam beliau termenung memikirkan bagaimana mahu memiliki berlian. Akhirnya, beliau memutuskan menjual kesemua harta yang dimilikinya untuk merantau mencari lombong berlian. Maka, Ali Hafiz pun mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya dan terus memulakan perjalanan. Beliau merantau ke bumi Palestin, menjelajahi Eropah, dan akhirnya tiba di Teluk Barcelona dalam keadaan miskin. Namun, berlian yang dicari tidak juga ditemui. Beliau berasa amat kecewa dan putus asa dan akhirnya mencampakkan dirinya ke dalam laut. Dengan ini tamatlah riwayat hidupnya.
Berbalik kepada ladang dan dusun yang sudah dijual, pada suatu hari pemilik yang baru bersiar-siar di dusunnya dan kemudian berhenti berehat di tepi sebatang sungai. Beliau berasa pelik kerana pasir di sungai itu kelihatan bersinar-sinar dan bergemerlapan. Beliau pun mencedok pasir sungai dan kemudiannya menunjukkanya kepada lelaki yang banyak mengkaji kisah-kisah silam. Lelaki itu terkejut besar kerana pasir itu mengandungi berlian bernilai tinggi dan berlian itu yang dicari-cari selama ini oleh Ali Hafiz.
Dusun itu bertukar menjadi sebuah lombong berlian yang besar yang dikenali pada hari ini sebagai lombong Golcanda.
Kembali kepada Islam
Ramai antara kita umat Islam hari ini ‘rabun dekat’ seperti Ali Hafiz. Islam yang merupakan penyelesai segala masalah dipandang sebelah mata. Namun sibuk dikejarnya fahaman-fahaman songsang yang lain. Tidak kurang juga yang sibuk berbangga dengan sejarah kegemilangan Islam, tetapi gagal untuk ‘berbangga’ dengan persiapan yang umat terdahulu lakukan. Memetik kata-kata HAMKA:
“Yang ada ini sudah harapan kita.”
Islam yang kita anuti ini sudah harapan kita. Janganlah kita bergantung harap dengan yang lain selain daripada Allah dan RasulNya. Baginda telah tinggalkan kepada kita Al-Quran dan As-Sunnah sebagai bekalan. Sesungguhnya kita tidak akan sesat selagimana kita berpegang dengan kedua-duanya. Kembalilah kepada Islam. Kembalilah kepada As-Sunnah. Sesungguhnya umat terdahulu berjaya bukan hanya kerana mereka Islam, tetapi mereka turut berbangga dengan Islam.
“Kita merupakan golongan yang dimuliakan Allah dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup yang lain daripada Islam, Allah akan menimpakan kehinaan ke atas kita.”
–Saidina Umar Al-Khattab
Yang ada ini, sudah harapan kita.
Ini kali-lah! Sinar Islam kan terang semula!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s